Friday 26 April 2013

Masak Lemak Kuning Udang dan Nenas


Bahan-bahan :

1 kotak udang air tawar (lebih kurang 24 ekor)
1 biji bawang besar  } dikisar
1 kiub pes bawang putih
1 kiub pes halia
1 biji cili merah  }
6 biji cili padi     }  dikisar
1 batang serai    }
1 sudu besar serbuk kunyit
santan
air untuk kisar bahan diatas
2 biji tomato dipotong empat
1 tin nenas
daun ketumbar
garam dan gula secukup rasa

Cara memasaknya :

Udang dipotong mata, janggut dan sedikit ekur dengan gunting.
Kisar bawang, cili dan serai, bawang putih dan halia boleh dikisar sekali kalau guna yang segar.
Panaskan sedikit minyak, tumis bahan kisar hingga terbit minyak.
Masukkan serbuk kunyit dan santan.
Biarkan mendidih, masukkan udang, tomato, nenas dan jusnya sekali.
Perasakan dengan garam dan secubit gula secukup rasa, tabur sedikit daun ketumbar.
Terus padamkan api bila udang telah berwarna merah.
Jangan masak lama nanti isi udang jadi keras.

Thursday 25 April 2013

Bingka Ubi Kayu Maklang Ani

Hari ni cuba pula bingka ubi kayu dari blog Maklang Ani. Memang sedap, nanti bolehlah
buat lagi ikut resepi ini. Terima kasih dan izinkan salin resepi nya disini sebagai rujukan
dikemudian hari.


Bingka Ubi kayu Maklang Ani@chocoani.blogspot.com


Bahan-bahan :

4 cawan ubi kayu
2 cawan santan
1 cawan gula
1/2 sudu teh garam
sedikit pewarna kuning

Cara membuatnya :

Panaskan ketuhar 165 darjah, guna api atas dan bawah.
Kepanasan ketuhar bergantung kepada oven masing-masing.
Gaulkan semua bahan-bahan hingga rata dan gula hancur.
Tuang dalam loyang yang telah disapu minyak.
Bakar bingka selama 1 jam atau sehingga bahagian atasnya keperangan.
Biarkan betul-betul sejuk baru dipotong.


Wednesday 24 April 2013

Kari Ayam Campur



Bahan-bahan :

1 ekor ayam dipotong kecil
2 biji bawang besar  } dikisar
5 biji tomato            }
1 kiub pes bawang putih
1 kiub pes halia
setangkai daun kari
kulit kayu manis, pelaga,bunga lawang
3 sudu besar rempah kari Adabi atau Baba's
5 batang celery
2 batang karot
1 tin kacang kuda
daun ketumbar
garam dan gula secukup rasa

Cara memasaknya :

Ayam dipotong kecil dan dibersihkan.
Panaskan sedikit minyak, tumiskan bawang dan tomato yang dikisar,
bawang putih, halia, daun kari, kayu manis, pelaga, lawang serta rempah kari.
Masukkan potongan ayam, biarkan mendidih.
Kemudian masukkan batang celery, karot dan kacang kuda.
Perasakan dengan garam dan secubit gula secukup rasa.
Masukkan sedikit daun ketumbar yang dihiris kasar.
Sudah siap, bolehlah padamkan api.


Tuesday 23 April 2013

Rendang Pedas Kunyit Ayam


Bahan-bahan :

1 ekor ayam dipotong kecil
2 biji bawang besar  } dikisar
1 kiub pes bawang putih
1 kiub pes halia
2 biji cili merah  }
6 biji cili padi     }
2 batang serai    } dikisar
2 hiris lengkuas }
1 sudu besar serbuk kunyit
santan
air untuk kisar bahan diatas
2 keping asam gelugor
sehelai daun kunyit
3 helai daun limau perut
garam dan gula secukup rasa

Cara memasak :

Ayam dipotong kecil dibersihkan.
Bawang besar, cili, serai dan lengkuas dikisar, bawang putih dan halia boleh
dikisar sekali kalau guna yang segar.
Panaskan sedikit minyak, masukkan semua bahan kisar tadi.
Biarkan pecah minyak, kemudian masukkan serbuk kunyit dan santan secukupnya.
Selepas itu masukkan semua bahan-bahan lain, ayam, asam gelugor, daun kunyit, daun
limau perut.
Biarkan mendidih, masak biar sedikit pekat, masukkan garam dan secubit gula secukup rasa.
Padamkan api dan siap untuk hidangkan bersama nasi pilihan anda.

Friday 22 March 2013

Salji Turun di Musim Bunga


Salam semua

Tengoklah sukanya Hilman dapat main snow. Walaupun snow tak tebal seperti di tempat lain
tapi cukuplah dapat menggembirakan hati masing-masing yang memang menunggu snow
turun sejak Krismas lepas.

Tahun ni snow turun lewat sedikit, dah masuk bulan March. The coldest March in 50 years with
freezing conditions since 1962, berita dalam surat khabar di sini. Dah masuk musim bunga pun. Tapi snow yang turun tak bertahan lama, cepat saja cairnya. Jadi bila snow turun banyak sikit, cepat-cepatlah keluarkan sledge. Queen's Park dan Bellahouston Park adalah tempat yang paling dekat dengan rumah akak untuk main sledge.

Yang ada masa tu selalunya mereka bercuti ke Highland untuk berski dan sledgeing bersama keluarga.










Temankan Hilman main sledge (klik HD untuk video clear) : 


Sunday 24 February 2013

Laksa Sarawak

Assalamualaikum

Pertama kali nak rasa Laksa Sarawak guna perencah Laksa 'Hj MANAN'.
Mudah ye, resepi disertakan sekali dipeket perencah laksa.
Tapi Laksa Sarawak yang akak buat ni tak lah original, sebab tak semua bahannya
ada dirumah, guna bahan yang ada saja.
Rasa tetap maintain, don't worry memang sedap.
Siapa yang ada perencah 'Hj MANAN' tu bolehlah buat ye.


Terima kasih pada kawan kakros ni dan suaminya yang telah meninggalkan
perencah ini sebelum pulang ke tanahair 'for good'.


Semoga Puan Ahnis sekeluarga dimurahkan rezeki dan hidup gembira kerana baru
menerima menantu. Tahniah!

Terharu dengan kata-kata amanat Encik Kushairi, kata-kata ini lah sepatutnya setiap bapa
tidak malu meluahkannya semasa menyerahkan anak perempuannya. Bangga juga sebab
Kush sendiri yang nikahkan, memang terbaik!

Pada Kina dan suami, tahniah 'Selamat Pengantin Baru' semoga berbahagia hingga ke Jannah.

Suka tengok video majlis pernikahan Shakina dan Rahim, boleh ye kongsikan disini, terima kasih.

Thursday 14 February 2013

Chapssalddeok (Korean Style Mochi / Sweet Rice Cake)

Salam ceria semuanya

Hari ini kita cuba pula makanan dari Korea.
Yang ini bukan kakros buat, tapi anak akak yang buat.
Pertama kali cuba buat, jadi tak perfect sangat bulatnya.
Resepi asal diambil dari Maangchi Kim, boleh semak di Maangchi.com dari Youtube.
Sudah ramai yang mencuba, memang sedap.
Kredit pada Maangchi Kim kerana menunjukkan cara yang mudah menyediakan
Chapssalddeok ini dengan menggunakan microwave.
Kalau nak dibezakan dengan kuih Malaysia, rasanya lebih kurang macam kuih tepung gomak.
Itu pendapat akak lah, tak tahu pendapat orang lain, apa-apa pun jom kita cuba dulu.
Resepi asal Chapssalddeok dari Maangchi seperti dibawah.


Chapssalddeok (Korean Style Mochi / Sweet Rice Cake)

Bahan-bahan :

1 cawan tepung pulut (glutinious rice flour)(sweet rice flour)
1/4 sudu teh garam
1 sudu besar gula
3/4 cawan air
sedikit pewarna merah
1/2 cawan tepung jagung (corn starch)

1 cawan adzuki bean (kacang merah)
3 cawan air
3/4 cawan brown sugar
1/4 sudu teh garam
1 sudu teh esen vanilla
2-3 sudu besar corn syrup / honey

Cara menyediakan pes kacang merah :

Bersihkan kacang merah, dalam periuk rebus kacang merah bersama air
dengan api yang kuat selama 10 minit kemudian perlahankan api dan masak
selama lebih kurang 1 jam 20 minit sehingga kacang merah lembut.

Kemudian kisarkan kacang merah selama 1 minit dan masukkan semula kedalam
periuk yang sama bersama brown sugar, garam, esen vanilla dan corn syrup.
Kacau / gaul hingga brown sugar cair, padamkan api kemudian bulat-bulatkan inti.

*Untuk pes kacang merah, kakros hanya gunakan red kidney bean dalam tin, toskan
 airnya masukkan dalam periuk bersama garam dan brown sugar dan kacau hingga pekat.

Cara menyediakan adunan tepung :

Campurkan tepung pulut, garam dan gula.
Letakkan setitik pewarna merah kedalam air, kacau rata dan bancuhkan adunan tepung tadi.
Bila adunan tepung sudah sebati, tutup mangkuk dengan plastik cling wrap, tinggalkan sedikit
lubang untuk wap keluar.
Microwavekan selama 3 minit high heat.
Keluarkan mangkuk, gaul adunan tepung hingga sebati kemudian microwavekan semula
selama 1 minit lagi.
Keluarkan mangkuk, kacau / gaul adunan tepung hingga kental (lebih kurang 100 kali kata Maangchi)

Tabur tepung jagung  keatas papan canai, bahagikan adunan tepung kepada 8 bahagian.
Lumur tapak tangan dengan tepung jagung, leperkan adunan tepung masukkan pes kacang merah
(inti) dan bulat-bulatkan adunan.
Bila sudah siap, boleh masukkan dalam cawan kertas seperti Maangchi buat dan hidangkan.



Link ke video Maangchi:

Wednesday 13 February 2013

Sambal Kacang Sotong Kering

Assalamualaikum semua

Masak apa hari ni?
Sudah lama kakros tak masak sambal kacang sotong kering macam ni.
Huh! makan dengan nasi lemak... memang terangkat.
Sesekali masak memang tak cukup dibuatnya, walaupun hanya makan dengan
nasi putih hangat-hangat. Jom makan...


Sambal Kacang Sotong Kering

Bahan-bahan :

100g sotong kering (anggaran 10 keping) direndam hingga lembut
2 senduk nasi cili kisar (cili kering direbus kemudian dikisar)
4 biji bawang besar dikisar
2 ulas bawang putih
sedikit belacan
air asam jawa
semangkuk kecil kacang tanah goreng ditumbuk
1 sudu besar garam
4 sudu besar gula

Cara menyediakan :

Sotong kering direndam hingga lembut, kemudian dipotong-potong.
Panaskan minyak, tumiskan bawang besar dan bawang putih.
Kemudian masukkan cili kisar, terus masukkan belacan dan air asam jawa.
Masak cili hingga terbit minyak, masukkan sedikit gula dahulu untuk mempercepatkan cili garing.
Kemudian bolehlah masukkan sotong kering tadi dan kacang tanah goreng yang telah ditumbuk.
Gaul rata, masak sebentar lagi perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
Cukup rasa masam masin manis pedas dah pun siap, hidangkan dengan nasi panas-panas.


Wednesday 6 February 2013

Lamb Rogan Josh dan Nasi Kunyit

Kali ini kakros masak lagi kari stail pakistan yang kami sekeluarga suka sangat makan.
Makan dengan apa-apa nasi atau roti pilihan. Kalau masak lebih bakinya diperangat semula
cicah dengan roti canai ke, roti nan ke, kalau takder roti biasa pun boleh, hah menjilat jari dibuatnya.

Lamb Rogan Josh ni kakros makan dengan Nasi Kunyit, telur dadar dan salad biasa. Dan kalau ada
lebih tu boleh lah dicicah dengan roti untuk sarapan esok.


Lamb Rogan Josh

Bahan-bahan :

1kg lamb (kakros guna lamb shoulder)
4 labu bawang besar dihiris
1 sudu besar pes bawang putih
2 sudu besar pes halia/ 2 kiub halia
4 cawan air
2 genggam daun ketumbar
6 biji tomato didadu kasar
2 batang karot potong kasar
2 biji kentang potong empat
1 1/2 sudu besar garam
1 sudu besar gula
minyak  + minyak sapi

1 sudu besar serbuk ketumbar
1 sudu besar paprika
1 sudu kecil serbuk cili
1 sudu kecil serbuk jintan manis
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 sudu kecil garam masala

1 kulit kayu manis
10 biji lada hitam
4 bunga cengkih
4 buah pelaga
1 helai daun bay (kakros tak letak)

Cara memasak :

Panaskan minyak +minyak sapi dan tumis bawang besar yang dihiris hingga perang
bersama bawang putih dan  halia.
Masukkan semua rempah sekali.
Kemudian masukkan 2 cawan air bersama lamb shoulder (atau apa-apa daging yang anda guna)
Biarkan mendidih tambah 2 cawan lagi air bersama kentang, karot dan tomato.
Masak hingga lamb shoulder lembut dan kuah pekat, letakkan garam dan sedikit gula.
Akhir sekali masukkan hirisan daun ketumbar.


Nasi Kunyit

Bahan-bahan :

2 mug beras basmathi
3 mug air
1/2 labu bawang besar
kayu manis, pelaga, bunga lawang
3 sudu besar minyak zaitun
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 sudu besar garam
hirisan daun ketumbar

Cara menyediakan :

Dalam periuk rice cooker, masukkan beras basmathi, air secukupnya, bawang, kayu manis, pelaga dan lawang yang telah ditumis hingga perang, serbuk kunyit dan garam.
Kemudian masak seperti memasak nasi biasa, apabila air sudah kering tabur hirisan daun ketumbar
dan bawang goreng.
Tutup penutup periuk dan biarkan nasi masak sempurna.
Bila sudah keep warm bolehlah gemburkan nasi.




Monday 4 February 2013

Lamb Yakhni Pilau

Assalamualaikum

Masak nasi pilau guna rempah dalam kotak yang sedia ada memanglah sangat mudah.
Hanya tambah beberapa bahan saja, kita sudah boleh menikmati hidangan nasi yang menyelerakan.
Yang penting kena dengan selera kita. Yakhni Pilau mix antara beberapa rempah yang kakros
cuba untuk masak nasi pilau. Ternyata memang sedap, tak rugi mencuba.


Masak lamb yakhni pilau :

2 mug beras basmathi
3 mug air rebusan lamb (kakros guna lamb ribs)
2 sudu besar rempah yakhni pilau mix
2 sudu besar minyak sapi / minyak zaiton
1/2 biji bawang besar dihiris
pewarna kuning makanan (opt)
hirisan daun ketumbar

Cara memasak :
Rebus hingga lembut lamb ribs, guna air rebusan untuk masak nasi.
Dalam periuk rice cooker, bersihkan beras basmathi, masukkan air rebusan lamb tadi.
Tumis bawang besar hingga perang dan rempah, masukkan kedalam periuk bersama beras.
Kemudian masak seperti memasak nasi biasa, bila air sudah kering titiskan pewarna kuning
dan tabur hirisan daun ketumbar.
Tutup penutup periuk biarkan nasi masak dengan sempurna.
Bila rice cooker sudah keep warm bolehlah gemburkan nasi.
Kakros tak ada masukkan garam sebab rempah dalam kotak tu sudah ada garam.


Masak lamb guna meat masala :

1 1/2 kg lamb (bahagian ribs direbus hingga lembut)
3 labu bawang besar dihiris
2 sudu besar pes halia / 2 kiub halia
4 sudu besar rempah meat masala
8 cawan air
3 biji kentang dipotong empat setiap satu
3 biji tomato didadu kasar
hirisan daun ketumbar
minyak untuk menumis

Cara memasak :
Tumis bawang besar dan halia hingga perang, masukkan lamb ribs dan kentang.
Masukkan rempah, balik-balikkan hingga rata.
Kemudian masukkan lebihan air rebusan lamb tadi dan masak hingga kentang lembut.
Akhir sekali masukkan buah tomato dan hirisan daun ketumbar.
Masak hingga kuah pekat sedikit, padamkan api.
Kakros tak ada masukkan garam sebab rempah dalam kotak tu sudah ada garam.







Thursday 31 January 2013

Karipap Kentang


Bahan-bahan :

1 kg tepung gandum
2 sudu besar marjerin
1/2 cawan minyak
1 1/2 sudu besar garam
air sejuk peti ais

5 biji kentang didadu
semangkuk isi ayam cincang
1 labu bawang besar
sedikit halia
2 sudu besar rempah kari daging
1/2 sudu besar serbuk lada hitam
daun sup
garam dan gula

Cara-cara :

Masak inti dahulu, tumiskan bawang masukkan halia.
Kemudian masukkan isi ayam cincang, masak hingga air kering.
Masukkan rempah kari dan serbuk lada hitam.
Kemudian masukkan kentang didadu tadi letak sedikit air.
Masak hingga kentang lembut dan inti kering boleh padamkan api.

Buat doh karipap, marjerin campur dengan minyak, panaskan sekejap atas api hingga marjerin cair.
Kakros hanya panaskan dalam microwave selama seminit.
Campurkan semuanya, tepung, garam dan marjerin + minyak yang dipanaskan tadi.
Kemudian gaulkan dengan air sejuk, uli hingga jadi doh yang tak melekat di tangan.

Kemudian buat karipap seperti biasa, gelek doh terap bulat dan isi inti, kemudian kelim
buat sehingga habis adunan.
Goreng karipap sehingga keperangan.

Bebola Keria

Assalamualaikum

Sebenarnya kakros nak buat kuih keria, tapi tak ada keledek biasa, yang ada keledek oren.
Keledek oren ni memanglah lembik sedikit bila dicampur tepung. Lambat pulak rasanya bila
nak dibentukkan gegelang. Jadi kakros jemput-jemputkan saja kedalam minyak panas
bulat-bulat macam tu. Bila dah masak angkat toskan, suam-suam sikit golekkan dalam gula.


Bahan-bahan :

1kg keledek oren
3 cawan tepung gandum
1 cawan tepung naik sendiri
2 sudu besar garam
gula untuk salut

Cara-cara :

Kupaskan keledek kemudian direbus hingga lembut, kemudian toskan.
Lenyek keledek hingga hancur, campur garam dan dua-dua tepung.
Gaul hingga sebati.
Panaskan minyak, kemudian celupkan jari dalam air dan jemputkan adunan
kedalam minyak panas.
Goreng hingga masak angkat toskan, bila dah suam-suam baru golek dalam gula.
Kalau baru angkat dan terus golek dalam gula nanti banyak sangat gula melekat sebab masih panas.





Sunday 27 January 2013

Singgang Ikan Plaice


Bahan-bahan :

2 ekor ikan plaice (ikan sisa nabi) di fillet jadi 4 keping
1 labu bawang besar
2 ulas bawang putih
2 biji cili merah
halia
lengkuas
sebatang serai
sedikit serbuk kunyit (boleh guna kunyit hidup kalau suka)
3 keping asam gelugur
2 bunga kantan
segenggam daun kesom
belacan
garam secukupnya
secubit gula

Cara-cara :

Ikan plaice dibersihkan bilas dengan air asam limau kemudian dibilas dengan air semula.
Bawang besar, bawang putih, cili merah, halia dan lengkuas dikisar.
Masukkan kedalam periuk bahan yang dikisar dan tambah air secukupnya untuk kuah.
Rebuskan sampai mendidih bersama asam gelugur, serbuk kunyit, serai, belacan, garam dan secubit gula.
Kemudian masukkan kepingan ikan plaice, bunga kantan yang dipotong dua dan daun kesom.
Biarkan kuah mendidih hingga ikan masak sempurna, rasa pun dah okay bolehlah padamkan api.



Friday 25 January 2013

Sea Bream Goreng, Sambal cili Kicap dengan Kacang Buncis Goreng

Tengahari ini makan ringan-ringan saja, ada ikan sea bream dua ekor dalam petiais tu,
kakros goreng biasa saja, cicah dengan sambal cili kicap dan gorengkan sayur kacang buncis
campur cili capsicum traffic light. Alhamdulillah kenyang dah pun.


Sea Bream Goreng

2 ekor ikan sea bream
serbuk kunyit
garam

Lumurkan ikan sea bream rata-rata dengan garam dan serbuk kunyit kemudian digoreng.
Ada ikan lain pun tak kesah, ini cuma perkongsian.
* ikan sea bream ni kat tempat kita panggil apa pun tak tahu.





Sambal Cili Kicap

6 biji cili padi dihiris dicincang
2 biji cili merah dihiris dicincang
1 labu bawang besar didadu kecil
kicap manis cap kipas udang secukupnya
air asam limau secukupnya
gula
belacan (opt)

Yang ini memang selalu dah kakros tulis kat sini, kalau tak suka boleh buat sambal belacan seperti biasa.
Senang saja potong-potong, cincang-cincang lepas tu campur gaul semua.
Rasa pedas, masam, masin, manis dah pun siap janji sedap.
Cili tu kalau tak nak potong cincang, boleh jer tumbuk atau kisar, ikut masing-masinglah yer.


Kacang Buncis Goreng

segenggam kacang buncis dipotong serong
cili capsicum merah kuning hijau dihiris
1/2 labu bawang besar dihiris
sejemput udang kering direndam
sos tiram
garam dan gula

Tumis bawang letak udang kering, kemudian masukkan kacang buncis dan cili capsicum.
Letak sos tiram, garam gula sikit, sayur dah lembut, rasa dah ok boleh padamkan api.



Thursday 24 January 2013

Ayam Masak Hitam

Salam Maulidur Rasul semoga semuanya diberi kesihatan yang baik dan sejahtera hendaknya.

Ayam Penyet Goreng semalam masih berbaki dalam 3/4 lagi, jadi tak baik membazir. Jom tengok kakros tukar jadi Ayam Masak Hitam pula. Ayam berbaki tu kakros potong guna gunting saja menjadi kepingan, ketepikan dan tumiskan dengan rempah-rempah, kerisik dan bawang goreng.
Jangan lupa cuba sedap sangat hingga menjilat jari.


Ayam Masak Hitam
Bahan-bahan :

kepingan ayam yang telah digoreng
1 labu bawang besar dihiris
2 ulas bawang putih dicincang
1 sudu besar pes halia

2 sudu besar rempah kari
1 sudu besar serbuk jintan manis
1 sudu besar serbuk jintan putih
1 sudu besar serbuk ketumbar
1 sudu besar serbuk serai

3 sudu besar kerisik
2 genggam bawang goreng
3 sudu kicap manis cap kipas udang
air asam jawa
sedikit air
garam dan gula secukup rasa

Cara-cara :

Tumiskan bawang besar, bawang putih dan halia, kemudian masukkan semua rempah
dan serai. Kalau tak ada serbuk serai boleh saja guna serai biasa.
Letak sedikit air, kemudian masukkan kepingan ayam tadi.
Campurkan kicap dan sedikit air asam jawa.
Akhir sekali masukkan kerisik dan bawang goreng, balik-balikkan masak hingga pekat.
Rasa dahulu, tambah sedikit garam dan gula jika perlu.




Wednesday 23 January 2013

Ayam Penyet Goreng, Sambal Cili Kicap dan Kari Kobis

Salam  semua

Jangan silap ye Ayam Penyet Goreng dengan Ayam Goreng Penyet yang terkenal tu.
Yang ini akak penyetkan ayam tu dahulu, rub rub kan dengan rempah baru goreng.
Masak yang senang-senang saja, tak nak susah-susah janji sedap. Selamat makan
tengahari semuanya.


 Ayam Penyet Goreng
2 ekor ayam dibelah tengah kemudian ditekan atas tulang belakangnya hingga penyet
2 sudu besar garam
1 sudu besar gula
1 sudu besar serbuk jintan manis
1 sudu besar serbuk jintan putih
1 sudu besar serbuk ketumbar
1 sudu besar serbuk bawang putih
1 sudu besar serbuk paprika

Campurkan semua bahan-bahan dan lumurkan rata-rata pada ayam.
Panaskan minyak secukupnya dan goreng ayam hingga masak.



Sambal Cili Kicap
6 biji cili padi dihiris dicincang
1 labu bawang besar dihiris
2 sudu besar gula
kicap manis cap kipas udang secukupnya
air asam limau secukupnya

Campurkan semua bahan dan gaul rata rasa cukup pedas masam manis dan masinnya.



Kari Kobis
1 labu bawang besar didadu
2 ulas bawang putih dihiris
hirisan halia
kulit kayu manis, bunga lawang, pelaga, cengkih (rempah tumis)
sejemput udang kering direndam
1 senduk rempah kari Adabi
santan secukup
1/2 biji kobis dipotong
4 biji telur
garam secukup rasa

Tumis bawang besar, bawang putih dan halia serta rempah tumis.
Masukkan rempah kari dan santan serta udang kering.
Biarkan mendidih, pecahkan telur dalam mangkuk, masukkan sebiji-sebiji.
Bila telur sudah keras baru masukkan kobis.
Masak hingga kobis lembut baru padamkan api.



Tuesday 22 January 2013

Jejari Pastri Manis

Salam sejahtera semua pengunjung blogger masakan.

Tengah minum petang ? Selamat menjamu selera, yang tengah cari idea boleh cuba yang ini
kalau suka. Boleh juga lihat di SINI.


Jejari Pastri Manis
Bahan-bahan :

2 bungkus shortcrust pastri
susu segar secukupnya untuk sapuan (nak guna evaporated milk pun boleh)
gula pasir secukupnya untuk taburan

Cara-cara :

Sebuku pastri dipotong empat, kemudian ambil satu bahagian dipotong nipis-nipis
dan susun dalam dulang pembakar.
Panaskan oven terlebih dahulu suhu 160 darjah atau ikut suhu kepanasan oven masing-masing.
Kemudian sapu susu segar diatas kepingan pastri yang dipotong tadi.
Taburkan gula dan bakar dalam oven selama 30 minit atau sehingga masak keperangan.
Simpan dalam bekas kedap udara.
Hidangkan semasa minum petang atau jadikan kudapan sambil menonton TV juga yang tengah
mengadap internet.




Monday 21 January 2013

Masak Lemak Kupang dengan Kacang Buncis



Bahan-bahan :

350g isi kupang (dibersihkan buang tali terlekat diisi dalam)
segenggam kacang buncis dipotong serong
1/2 labu bawang besar
sedikit hirisan halia
sedikit udang kering direndam
santan atau susu segar
sedikit serbuk kunyit
2 cili padi
garam secukup rasa

Cara-cara :

Tumiskan hirisan bawang, halia dan udang kering.
Kemudian masukkan santan secukupnya, letak sedikit serbuk kunyit.
Masukkan isi kupang, hirisan kacang buncis, cili padi dibelah tengah
dan garam secukup rasa.
Biarkan mendidih sambil dikacau perlahan-lahan.
Padamkan api sedia untuk dihidangkan.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...