Wednesday 25 January 2012

Nasi Lemak di Glencoe

Assalamualaikum semua, moga semuanya berada dalam keadaan sihat dan gembira
di samping keluarga tersayang.




Semalam kakros ke kawasan pergunungan Glencoe di West Highlands of Scotland.
Glencoe Mountain Resort adalah salah satu tempat yang kerap di kunjungi oleh orang-orang
yang suka meluncur salji dan snowboarding pada musim winter. Tapi tak kurang ramai juga
yang naik ke atas hanya sekadar hendak main baling-baling bola snow, sledging dan menikmati
pemandangan salji yang memutih dari atas pergunungan. Resort ini di buka sepanjang musim
setiap tahun termasuk hari Sabtu dan Ahad.






Pada musim spring, summer dan autumn di adakan aktiviti-aktiviti lain pula di sini seperti
mountain biking, hill walking, bird and wildlife watching, archery, climbing dan chairlift rides.
Boleh lihat di sini : http://www.glencoemountain.com/summer.html
         atau di sini : www.glencoescotland.com/p/v/things-to-see-and-do/
Dari rumah kakros perjalanan kesini mengambil masa selama satu setengah jam sahaja.
Suhu pada ketika itu ialah - 3.8 C dan sedang hujan gerimis ber sleet. Pada yang belum
pernah merasainya macam mana ye nak di bayangkan....emm lebih kurang macam
snow + hujan haa...gitulah sejuk menggigil kepala lutut di buatnya.






Pengangkutan utama ke atas hanyalah dengan chairlift yang di sekat dengan palang besi.
Pada yang sedikit gayat dengan keadaan tinggi pasti rasa sedikit takut. Masa naik ke atas
tak berapa rasa sangat sebab kita pandang ke atas tapi masa nak turun tu....kakros tutupkan
mata sampai ke bawah. Lutut menggeletar sebab takut, sebab sejuk dan sebab gayat pun ya.





Sebenarnya masa musim panas 2011 yang lalu kakros sekeluarga sudah pun naik ke atas.
Pemandangan di atas pada masa tu tersangatlah cantik. Matahari bersinar menembusi awan,
gunung-gunung di sekeliling yang menghijau, tasik-tasik yang membiru dari pemandangan atas.
Langit membiru seluas mata memandang, angin sepoi-sepoi bahasa, rumput-rumpai yang berbunga
subhanAllah tersangatlah cantik bumi ciptaan Nya. Tak puas mata memandang rasa tak mahu turun saja.



Cuba bezakan pemandangan di Glencoe Mountain Resort ini pada musim sejuk dan musim panas.
Kedua-dua ada keistemewaannya tersendiri. Musim sejuk yang memutih dengan salji dan musim
panas pula menghijau dan membiru di sinar matahari, begitu gambaran keadaan di situ.



Kalau nak tahu lebih lanjut pasal pergunungan Glencoe ini bolehlah singgah ke blog Satu Perjalanan
milik kawan kakros ni. Puan Haslina ni adalah penulis blog kembara. Sudah banyak tempat-tempat yang
Puan Haslina lawati bersama suami tersayang dan teman-teman nya. Kalau kita mengikuti blog Satu
Perjalanan dan melihat gambar yang di ambilnya, rasanya seperti kita sedang berada di tempat
yang di gambarkan olehnya.

Boleh lihat di sini : Pergunungan Scotland siri 2.2 : Dari Loch Lomond ke Fort William @ Satu
                            Perjalanan ada di ceritakan tentang pergunungan Glencoe ini.

Sebenarnya kakros nak ceritakan pasal bekalan yang akak bawa hari tu untuk mengalas perut.
Maklumlah sejukkan perutpun cepatlah rasa lapar. Kakros masak nasi lemak, walaupun nasi
lemak sekarang ini sudahpun di pelbagaikan ada yang berwarna hijau ada yang kuning dan
cara masak pun berbagai ada yang di kukus dan ada yang di tumis. Tapi nasi lemak biasa juga
yang menjadi pilihan kakros sekeluarga. Teringin juga nanti nak mencuba nasi lemak yang
berlainan warna seperti di dapur kawan-kawan yang lain tentu sedapkan !

Bau harum nasi lemak bersambalkan ikan bilis dan sambal serai ayam serta telur dadar dan
potongan timun yang segar di pagi yang sejuk nih, buat perut berkeroncong pulak.
Jom kita semak resepi.




Nasi Lemak
Bahan-bahan :
4 mug beras basmathi
1/2 biji bawang besar didadu
sedikit halia di hiris halus memanjang
sejemput lada hitam biji
sehelai daun pandan di simpul
1 tin santan
4 1/2 mug air
1 1/2 sudu besar garam

Cara-cara :
Basuh beras basmathi dalam periuk rice cooker.
Kemudian masukkan bawang, halia, lada hitam, daun pandan, santan, air dan garam.
Kacau sedikit dan tanak nasi lemak hingga masak. Karihkan dengan garfu bila dah masak.

Sambal Ikan Bilis
Bahan-bahan :
semangkuk kecil ikan bilis di rendam air panas
1 biji bawang besar  }
2 ulas bawang putih  } di kisar
5 sudu besar cili kisar
air asam jawa
sedikit belacan
garam dan gula secukup rasa
sebiji bawang besar di hiris kasar (opt)

Cara-cara :
Tumis bawang hingga wangi masukkan cili kisar.
Tumis cili hingga terbit minyak masukkan sedikit belacan dan air asam jawa.
Masukkan ikan bilis yang di rendam bersama bawang besar yang di potong kasar tadi.
Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
Biarkan mendidih dan bawang dah layu sedikit sudah boleh tutupkan api.
Kakros masukkan bawang di potong kasar ini kerana hendak mengurangkan pedas kalau
tak mahu masukkan pun tak mengapa ye terpulang kepada tahap kepedasan masing-masing.

Sambal Serai Ayam
Bahan-bahan :
12 ketul ayam digaulkan garam dan kunyit
2 biji bawang besar  }
2 ulas bawang putih } di kisar
1 batang serai          }
sedikit halia             }
5 sudu besar cili kisar
sedikit belacan
garam dan gula secukup rasa

Cara-cara :
Ayam yang di gaul garam dan kunyit di goreng, dah masak kaitkan ke dalam pinggan.
Kemudian tumiskan bawang, serai dan halia yang di kisar hingga wangi.
Masukkan cili kisar dan sedikit belacan, tumis cili hingga terbit minyak.
Kemudian masukkan ayam yang sudah di goreng tadi, balik-balikkan.
Rasa garam dan gula secukup rasa. Rasa dah okay boleh lah padamkan api.

Buat tiga telur dadar dengan 6 biji telur dan potong timun secukupnya.




Saturday 21 January 2012

Spaghetti Goreng Lagi.....

Biasalah kalau duduk kat perantauan ni, spaghetti dah jadi macam mee kuning
tak ada beza dah lagi. Murah lagi spaghetti kering dari mee kuning basah.
Cuma kalau nak nampak lebih macam mee kuning tu bila merebus spaghetti
tambahkan lah sedikit serbuk kunyit kedalam nya itu saja.

Bukannya tak rindu kat mee kuning, sabar je lah bila dah balik ke tanahair nanti,
apa-apa pun makan je lah spaghetti dulu......Semua menu yang menggunakan
mee kuning sebagai bahan asas dalam resepi-respi kakros kat blog ni semuanya
akak gunakan spaghetti sebagai alternatif. Macam kakros cakap tadi lah kalau
nak rasa exactly macam mee kuning masa merebus tu kena lah tambahkan sedikit
serbuk kunyit ye. Jom kita makan dulu spaghetti goreng kari kakros ni....


Bahan-bahan :

satu bungkus spaghetti
1/2 biji bawang besar di dadu
2 ulas bawang putih
sebatang karot
2 biji kentang di dadu
sedikit udang basah
sedikit udang kering  }
sedikit ikan bilis        } rendam dalam air panas
1 sudu besar penuh rempah kari
sedikit air
1 sudu besar garam
1 sudu besar gula
kicap manis cap kipas udang secukupnya
3 sudu besar sos tiram
2 biji telor
4 batang daun bawang
bawang goreng dan cili merah

Cara-cara :

Rebus sebungkus spaghetti hingga lembut dan tos kan.
Panaskan sedikit minyak tumiskan bawang, bila dah sedikit garing masuk
kentang yang di dadu dan potongan karot.
Masukkan rempah kari dan sedikit air menutupi kentang, biarkan kentang
masak lembut dan rempah kari masak.
Kat sini kakros gunakan rempah kari yang extra hot jadi kakros tak letak
cili kisar ye. Memang satu sudu besar penuh tu dah cukup pedas.
Kemudian masukkan udang kering, ikan bilis dan udang basah.
Selepas tu masukkan garam, gula, kicap manis dan sos tiram.
Pecahkan dua biji telur kedalamnya. Masukkan daun bawang yang bahagian
bawah (putih), yang bahagian atas (hijau) dihiris halus untuk di taburkan ke atasnya nanti.
Kemudian masukkan spaghetti, balik-balikkan goreng rata sampai siap.
Sendukkan kedalam pinggan tabur bawang goreng, daun bawang tadi dan cili merah.
Jom kita makan dulu.....pekena dengan kopi O sekali yup.


Friday 20 January 2012

Swede Goreng


Bahan-bahan :

sebiji swede di buang kulit dan di potong nipis
1/4 biji bawang besar untuk ambil bau saja
sedikit garam
minyak untuk menggoreng

Cara-cara :

Boleh guna dua biji swede sekali nanti tak cukup sebab sedap.
Buang kulit kemudian potong nipis-nipis.
Panaskan minyak lepas tu masukkan bawang dan gorengkan semua swede
yang telah di potong tadi. Bawang tu kakros guna untuk wangi saja, tak nak guna pun
tak pe. Terus goreng swede macam tu saja.
Jangan lupa masukkan sedikit garam ke dalam minyak.
Bila dah kuning dan tepi nya dah garing macam dalam gambar kaitkan kedalam
pinggan yang di lapik dengan tisu dapur.
Boleh makan macam tu saja atau makan dengan nasi.
Swede ni rasanya lebih kurang macam ubi juga.
Kat Malaysia tak tau ada ke tak ubi ni, kalau ada boleh cuba rasa.
Isi nya warna kuning bukan putih.
Boleh juga di buat soup dengan kentang atau leek. Boleh juga buat swede gratin.
Boleh cuba lain hari.

Ikan Tenggiri masak cengini sesuai untuk dalam pantang


Bahan-bahan :

Beberapa keping ikan tenggiri
garam dan serbuk kunyit
1/2 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
sebesar ibu jari halia potong halus memanjang
lada hitam kasar
sedikit minyak zaitun / minyak sayur

Cara-cara :

Kepingan ikan tenggiri di sapu garam dan kunyit.
Goreng / bakarkan ikan dalam kuali non-stick dengan sedikit minyak.
Balikkan ikan, bila ikan hampir masak masukkan bawang dan halia tadi.
Bila bawang dan halia dah wangi dan sedikit garing ikan pun dah masak bolehlah
kaitkan ikan kedalam pinggan.
Jangan lupa taburkan lada hitam lepas tu.
Halia dan lada hitam tu banyak pun tak pe sebab ia bagus untuk keluarkan angin
dan panaskan badan.
Makan dengan nasi putih panas-panas yang masih berasap lagi barulah berpeluh dan
badan rasa segar.

Ayam Goreng Kunyit


Bahan-bahan :

10 ketul ayam di potong kecil-kecil
1 biji bawang besar di dadu
1sudu besar pes halia
1/2 sudu besar serbuk serai
1/2 sudu besar serbuk kunyit
1/2 sudu besar serbuk jintan manis
sedikit air asam jawa
air secukup nya
garam sesuai rasa
2 pokok daun bawang di potong kasar
sebiji cili merah

Cara-cara :

Panaskan minyak dalam kuali masukkan bawang dan halia.
Kemudian masukkan terus ayam, balikkan dan gaul goreng ayam hingga
masak dan terbit minyak.
Kemudian masukkan serbuk serai, serbuk kunyit dan serbuk jintan manis.
Balik-balikkan lagi hingga semua rempah bergaul rata.
Letak sedikit air dan sedikit air asam jawa. Sesuaikan rasa garam.
Biarkan ia merenih sebentar lagi masukkan daun bawang dan cili merah
sebelum padamkan api.

Cokodok Pisang


Bahan-bahan :

5 biji pisang montel
12 sudu besar membukit tepung naik sendiri
2 sudu besar rata gula
dua cubit garam

Cara-cara :

Picit-picitkan dulu pisang kemudian kopekkan kulit masukkan dalam bekas.
Guna garfu lenyek-lenyekkan pisang. Tak payah hancur betulpun tak pe.
Masukkan gula dan garam.
Masukkan tepung naik sendiri, gaul rata.
Bila minyak dah panas boleh terus menggoreng.

Stim Salmon dalam microwave


Bahan-bahan :

1/2 ekor ikan salmon (guna bahagian ekor)
1/2 biji bawang besar di dadu
sedikit halia potong halus memanjang
1/2 batang karot potong halus memanjang
1/2 biji cili merah potong halus memanjang
air panas secukupnya menutupi separuh bahagian ikan
sedikit sos ikan
sedikit cuka putih
sedikit jus lemon
1/2 sudu besar garam
1/2 sudu besar gula
sedikit daun bawang
plastik cling wrap untuk tutup mangkuk

Cara-cara :

Basuh ikan salmon dan kelar-kelar kedua-dua belah ikan, bilas dengan jus lemon.
Masukkan salmon ke dalam mangkuk bujur tahan panas.
Taburkan bawang, karot dan cili merah yang di potong keatas ikan.
Masukkan air panas menutupi separuh bahagian ikan.
Letakkan sos ikan, cuka dan jus lemon secukup nya.
Tuang saja ke atas badan ikan tu ye.
Taburkan juga garam dan gula keatas nya.
Tutupkan permukaan atas mangkuk dengan plastik cling wrap secukupnya.
Cucukkan sekali dengan hujung mata pisau kat tengah plastik untuk wap keluar.
Masukkan dalam microwave dan stimkan selama 6 minit. Dah pun siap.
Taburkan sedikit daun bawang sebagai hiasan sebelum menghidang.
Masa untuk stim ikut berapa besar ikan yang di gunakan ye.
Sedap makan panas-panas tengah berasap lagi tu.


Sambal Sardin


Bahan-bahan :

setin sardin apa-apa bran pun boleh
1/2 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
4 sudu besar cili kisar
jus lemon atau air asam jawa
2 sudu besar kicap manis
garam dan gula secukup rasa
1/2 biji bawang besar di potong kasar
sedikit kacang peas  (opt)

Cara-cara :

Tumis bawang dan bawang putih hingga wangi kemudian masukkan cili kisar.
Letak jus lemon, kicap manis, garam dan gula. Tumis hingga cili masak dan
terbit minyak. Masukkan sardin serta sosnya sekali dan bawang besar yang
di potong kasar tadi. Biarkan mendidih dan bawang dah layu sedikit boleh
padamkan api.
Kemudian gorengkan telur mata kerbau dan tuangkan kicap.
Haa....ni dia lauk bila balik dari jalan jauh dah penat dan semua orang dah lapar,
paling cepat masak sardin je lah. Haa...senyap semuanya dah dapat makan.....



Nasi Goreng Cili Padi


Bahan-bahan :

semangkuk besar nasi sejuk (lebih kurang untuk lima orang makan)
1/2 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
5 kelopak kobis
sebatang karot
4 biji cili padi
3 sudu besar sos tiram
3 sudu besar kicap manis
segenggam ikan bilis halus   }
segenggam udang kering     } rendam dgn air panas
1 sudu besar garam
1 sudu besar gula

Cara-cara :

Tumiskan bawang, bawang putih hingga harum masukkan ikan bilis dan udang kering
Goreng sebentar kemudian masukkan karot dan kobis yang telah di potong hiris.
Biarkan sayur lembut sedikit masukkan semangkuk besar nasi tadi.
Kemudian masukkan sos tiram. kicap manis, garam dan gula secukup rasa.
Akhir sekali masukkan cili padi yang di potong serong.
Gaul balikkan hingga semua nya bergaul rata .
Bila dah naik wap dan berasap, bunyi pun dah tak berapa kuat lagi macam mula-mula
kita letak nasi tadi, itu tanda nya nasi goreng tu dah sempurna masak.



Masak Lemak Kuning Jintan Manis Ayam



Bahan-bahan :

10 ketul ayam di gaul garam dan kunyit
1 biji bawang besar   }
2 ulas bawang putih   }
sedikit halia               }  di kisar
sedikit lengkuas         }
sebatang serai           }
1/2 sudu besar serbuk kunyit
1/2 sudu besar serbuk jintan manis
2 asam keping
2 biji cili hijau
santan dan air secukupnya
2 biji kentang sebatang karot
garam secukup rasa

Cara-cara :

1. Ayam di gaul garam dan kunyit di goreng dahulu. Dalam periuk lain
    masukkan bahan yang di kisar, kunyit, jintan manis, asam keping, kentang
    air dan santan secukupnya untuk kuah.

2. Biarkan mendidih masukkan ayam yang di goreng tadi, karot dan cili hijau.
    Pastikan kentang dah empuk, perasakan dengan garam. Bila kuah dah pekat
    sedikit bolehlah tutupkan api. Akak hidangkan dengan kentang goreng dan
    kerabu tomato ringkas.

Kentang goreng :
4 biji kentang di potog baji gaulkan garam kemudian di goreng. Bila dah masak
toskan drizzle dengan sos cili manis.

Kerabu tomato ringkas :
4 biji tomato belah empat kemudian potong kecil-kecil,1/2 biji bawang besar
di hiris nipis-nipis, 2 sudu besar sos cili, 1/2 sudu besar gula dan sedikit sos ikan.
Gaulkan rata.




Ayam Kicap Pedas



Bahan-bahan :

12 ketul ayam di gaul garam dan kunyit
2 biji bawang besar di hiris kasar
sedikit halia
3 biji cili hijau
3 biji cili merah
kicap manis secukupnya
jus lemon secukupnya

Cara-cara :

Ayam yang di gaul garam dan kunyit tadi di goreng dahulu. Bila dah masak kaitkan
kedalam pinggan. Dalam kuali lain tumis halia sebentar masukkan ayam yang di goreng
tadi bersama semua bahan lain bawang dan cili yang di potong, kicap manis dan jus lemon
secukup nya. Bila bawang dah layu sedikit bolehlah tutupkan api.

Kari Ayam Kobis

Dah cuba ke kari kobis dengan telor yang kakros bagi hari tu ? Apa.... belum lagi. Laaaa....
kenapa tak cuba ? Apa... takut tak sedap. Hemm....kalau tak sedap tak kan akak nak masukkan
resepinya kat sini. Gerenti sedap punyalah. Hah ....hari ni kita masak kari ayam kobis pula yang
ini pun tak kurang juga sedap nya, cuba lah ye....



Bahan-bahan :

10 ketul ayam
1/2 biji bawang besar di dadu
2 ulas bawang putih
sedikit halia
2 tangkai daun kari
kulit kayu manis, bunga lawang
5 sudu besar rempah kari Adabi  }
1/2 sudu besar serbuk kunyit       } bancuh dengan sedikit air
1 sudu besar serbuk cili Baba's    }
2 asam keping
2 biji kentang di potong empat
1/2 biji kobis di potong
2 biji cili hijau di belah dua
garam dan sedikit gula
air dan santan secukup nya

Cara-cara :

1. Tumiskan bawang, bawang putih, halia, daun kari, kulit kayu manis dan bunga lawang
    hingga wangi kemudian masukkan rempah yang di bancuh dengan sedikit air. Tumis hingga
    terbit minyak masukkan ayam. Balik-balikkan ayam masukkan air dan asam keping.

2. Biarkan mendidih masukkan kentang dan santan, masak hingga ayam lembut dan kentang
    empuk. Kemudian baru masukkan kobis dan cili hijau. Perasakan dengan garam, boleh
    tambah sedikit gula kalau perlu.

Sweet Spicy Nuts



Bahan-bahan :

200g kacang badam
100g kacang tanah
segenggam bijan di sangai
1 sudu besar serbuk cili
1/2 sudu besar paprika
secubit garam
2 sudu besar madu

Cara-cara :

1. Kacang badam dan kacang tanah boleh di goreng dalam kuali tanpa minyak, di grill
    atau di bakar dalam oven. Kakros campur dua-dua kacang dan grill kan saja hingga
    masak. Kemudian sangai bijan hingga perang tuang dalam pinggan.

2. Dalam kuali yang sama, masukkan serbuk cili, paprika, secubit garam dan madu.
    Kacau sekejap atas api hingga madu berbuih dan tutupkan api.

3. Kemudian masukkan badam, kacang tanah dan bijan yang di sangai tadi cepat-cepat
    gaul kan rata. Kemudian rata kan kekacang tadi dalam loyang atau talam yang tak
    melekat biarkan sejuk sebentar.

4. Bila dah keras patah-patahkan kepada kepingan-kepingan yang besar dan simpan
    dalam bekas kedap udara. Bolehlah makan masa menonton tv nanti ye.

Beriani Ikan



Bahan-bahan :

3 mug beras basmathi
3 mug air
1 mug susu segar
3 sudu besar perencah beriani ikan
1/4 biji bawang besar di dadu
1/2 sudu besar serbuk bawang putih
1 kiub pati ayam
3 sudu besar jus lemon
2 sudu besar minyak sapi + 1 sudu besar minyak
1 1/2 sudu besar garam atau secukup rasa
pewarna kuning

Cara-cara :

1. Kali ni kita masak pula beriani ikan cara mudah ye. Kenapa akak kata mudah?
    Sebab hanya gunakan perencah fish beriani yang dah siap dalam kotak.

2. Basuh beras basmathi dalam periuk rice cooker kemudian masukkan semua
    bahan-bahan lain kecuali pewarna kuning. Masak nasi beriani ini seperti masak
    nasi biasa dalam rice cooker.

3. Bila air sudah kering titiskan beberapa titis pewarna kuning keatas nasi. Tutup
    semula penutup periuk. Biarkan nasi betul-betul masak kemudian gemburkan.

4. Nasi Beriani Ikan ini kakros hidangkan dengan Ikan masak merah, kerabu tomato
    timun dan papadom goreng.

Ikan Masak Merah

Bahan-bahan :

seekor ikan sederhana besar atau beberapa keping potongan ikan
sebiji bawang besar
2 ulas bawang putih
sedikit halia
sebatang serai
sesenduk cili kisar
setin peeled tomato
garam dan gula secukup rasa

Cara-cara :

Boleh guna apa-apa ikan, kakros guna salmon. Sapu garam dan kunyit kemudian goreng
garing. Kaitkan ikan kedalam pinggan. Tumis bawang yang di kisar dengan serai dan halia.
Bila dah garing masukkan cili kisar, tumis hingga terbit minyak masukkan peeled tomato.
Pecah-pecahkan tomato dengan senduk, masukkan garam dan gula secukup rasa masak
hingga pekat. Masukkan ikan yang di goreng tadi balik-balikkan sebentar kemudian tutupkan
api. Dah siap untuk di hidangkan dengan nasi beriani tadi ye. Jangan lupa goreng papadom
dan siapkan kerabu tomato timun sekali. Selamat menjamu selera.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...