Tuesday 22 November 2011

Ikan Terubuk Grill Cicah Air Asam dan Nasi Wangi


Bahan-bahan :

1ekor ikan terubuk  (di bersihkan di belah belakang)
di sapu garam, kunyit dan pes halia

Air Asam Jawa
8 biji cili padi
2 biji cili merah
1/2 biji bawang besar
air asam jawa secukupnya
sedikit belacan
garam dan gula

Nasi Wangi
3 mug beras basmathi
1/4 biji bawang besar di dadu
1 sudu besar pes halia
1 helai daun pandan
3 sudu besar minyak
sukatan air seperti masak nasi biasa + 1 cawan susu segar
1 1/2 sudu besar garam

Cara-cara :

1. Ikan terubuk yang telah di sapu garam kunyit dan pes halia bolehlah di grill atau nak bakar
    macam biasa pun boleh juga sehingga masak.

2. Untuk air asam jawa potong cili padi, cili merah dan bawang besar masukkan kedalam
    mangkuk. Campurkan belacan, garam, gula dan air asam jawa. Guna belakang sudu
    tenyeh-tenyehkan belacan supaya semuanya bercampur sebati.

3. Untuk nasi basuh beras basmathi dalam periuk rice cooker. Kemudian masukkan semua
    bahan-bahan yang lain bawang, halia, daun pandan, air, susu segar, minyak dan garam.
    Masak seperti memasak nasi biasa.

4. Untuk hidangan Ikan Terubuk Grill Cicah Air Asam dan Nasi Wangi kak ros gandingkan
    juga dengan Sticky Chicken Wing. Nanti akak tempekkan resepinya. Jangan lupa cuba ye...





Friday 18 November 2011

Kerabu Timun Bersantan




Bahan-bahan :

sebiji timun di potong halus
3 biji tomato di potong kecil
sebiji bawang besar di mayang nipis
3 biji cili merah                                 } di kisar
segenggam udang kering di rendam   }
2 genggam udang basah
secawan santan pekat  (guna santan tin)
3 sudu besar juice lemon
sebiji cili merah di potong serong
1 1/2 sudu besar garam, 1/2 sudu besar gula

Cara-cara :

1. Potong timun nipis-nipis kemudian potong halus memanjang, masukkan kedalam salad bowl
    atau besen untuk mengaul nanti. Tomato di belah empat kemudian potong nipis-nipis begitu
    juga dengan bawang besar di mayang nipis.

2. Udang basah basuh masukkan kedalam periuk kecil tak payah letak apa-apa, tutup tutup periuk
    buka api perlahan masak hingga keluar airnya dan bertukar ke warna merah. Ambil udang sahaja
    masukkan ke dalam besen bersama timun tadi.
    Kalau beli udang yang ready to eat (yang sudah di rebus dan di kopek kulit nya) hanya panaskan
    sekejap dalam  microwave selama 2 minit.

3. Cili merah dan udang kering di kisar kemudian masukkan kedalam besen juga.

4. Selepas tu masukkan semua bahan-bahan lain santan pekat, garam gula secukup rasa dan juice
    lemon. Gaul semua bahan dan rasa kalau dah okay bolehlah salinkan ke dalam mangkuk bersih
    taburkan dengan cili merah yang di potong serong dan hidangkan.

    Kalau guna kelapa, perah santan guna air panas ye. Tapi kalau guna santan tin macam kakros guna,
    tuang santan dalam cawan dan panaskan selama seminit dalam microwave dahulu baru gaulkan.




Sticky Chicken Wing


Bahan-bahan :

8 keping kepak ayam (setiap satu di potong dua)
1 sudu besar pes halia
1 sudu besar pes bawang putih
4 sudu besar sweet chilli sauce
4 sudu besar brown sauce
2 sudu besar madu

Cara-cara :

1. Kepak ayam tu boleh guna yang tiada kulit ataupun yang masih berkulit terpulang pada
    masing-masing. Kalau guna yang berkulit kenalah layur sedikit atas api supaya hilang
    semua bulu-bulu halus atas kulit tu. Kemudian barulah potong dua.

2. Lepas tu sapu kepak ayam dengan garam dan kunyit dan bolehlah di gorengkan dahulu.

3. Dalam kuali kecil panaskan sedikit minyak tumiskan pes halia dan bawang putih kemudian
    masukkan kepak ayam yang telah di goreng tadi. Masukkan cili sos, brown sos dan madu.
    Tak payah tambah gula dan garam lagi. Balik-balikkan sebentar lagi hingga semua sos dah
    bergaul rata kemudian bolehlah tutupkan api.

Ayam Goreng Bawang



Bahan-bahan :

10 ketul ayam di gaul garam kunyit
2 biji bawang besar di potong kasar
cili hijau atau cili padi

Cara-cara :

1. Goreng ayam yang sudah di gaul garam dan kunyit. Bila dah masak angkat.

2. Kemudian goreng pula bawang besar dan cili hijau, bila dah sedikit garing
    angkat dan taburkan keatas ayam tadi. Dah siap.

Rendang Daging Kering


Bahan-bahan :

2kg daging bersih (akak guna daging berurat) di potong kecil
3 biji bawang besar  }
3 batang serai           }  di kisar
4 sudu besar pes halia
2 sudu besar pes bawang putih
kulit kayu manis dan bunga lawang
1 senduk cili kisar
2 sudu besar serbuk ketumbar
4 helai daun limau perut di buang urat tengah
2 helai daun kunyit di koyak
garam secukup rasa
8 sudu besar kicap manis
air panas secukupnya untuk masak daging hingga lembut
1/2 liter susu segar (kalau nak guna santan pun boleh)

Cara-cara :

1. Sebab akak guna daging berurat jadi akak masukkan dulu dalam microwave
    selama 20-30 minit supaya urat nya dah separuh masak. Pada yang guna daging bersih
    tanpa urat dan lemak tak payah lah buat macam tu boleh terus memasak.

2. Potong daging kecil-kecil bersihkan dan di tos air nya. Kisar bawang besar dan serai
    masukkan dalam kuali bersama semua bahan-bahan lain kecuali kicap dan garam.

3. Kemudian masukkan susu segar. Kalau ada yang nak guna santan boleh saja terpulang ye.
    Jangan risau nak guna susu segar sebab dari segi rasa tak ada beza nya.

4. Kemudian tambah air panas hingga menutupi daging, masak hingga daging dan urat lembut.
    Masukkan garam secukup rasa dan kicap manis. Teruskan memasak hingga rendang daging kering.
 
5. Rendang Daging Kering ni boleh saja di makan dengan roti, roti canai, pulut kuning, ketupat palas
    dengan nasi lemak, nasi beriani dengan lontong pun boleh jugak ye.



Kari Ayam


Bahan-bahan :

50 ketul ayam di gaul garam dan kunyit
5 biji bawang besar    }
selabu bawang putih   }
dua ibu jari halia         }   di kisar
4 biji cili hijau             }
2 tin tomato                }
4 tangkai daun kari
kulit kayu manis dan bunga lawang
5 senduk serbuk kari Adabi
1 sudu besar serbuk kunyit
1 liter susu segar
air panas secukupnya
garam secukup rasa

Cara-cara :

1. Ayam di gaul garam dan kunyit kemudian di goreng ketepikan.

2. Tumiskan bahan-bahan kisar. Masukkan daun kari, kulit kayu manis dan bunga lawang.
    Tumis dan masak hingga terbit minyak, masukkan serbuk kari dan kunyit yang di bancuh
    dengan sedikit air.

3. Masak lagi hingga rempah kari masak kemudian masukkan susu segar dan air panas
    secukupnya untuk kuah. Biarkan mendidih dahulu dan masukkan ayam yang telah di goreng
    tadi. Letak garam secukup rasa, boleh letak gula sikit kalau suka.

4. Masak hingga pekat atau kalau suka berkuah banyak boleh tutup api awal sikit selepas
    kari telah mendidih.

Nasi Kacang Peas



Bahan-bahan :

3 mug beras basmathi
4 mug air dan 1 cawan susu segar
2 sudu besar minyak dan 1 sudu besar minyak sapi
1/2 biji bawang besar di dadu
halia di hiris halus atau guna 1 sudu besar pes halia
kulit kayu manis dan bunga lawang
4 sudu besar rempah kurma
2 sudu besar sos tomato
1 sudu teh serbuk lada hitam
kiub pati ayam
2 sudu besar garam
secawan kacang peas
secawan kismis
1/2 cawan bawang goreng untuk tabur

Cara-cara :

1. Basuh beras basmathi dalam periuk rice cooker, sukat air dan susu segar secukupnya.
    Masukkan semua bahan-bahan lain kecuali bawang goreng.

2. On kan periuk rice cooker masak nasi kacang peas seperti masak nasi biasa. Bila nasi
    dah masak taburkan bawang goreng. Kemudian bolehlah hidangkan Nasi Kacang Peas
    panas-panas dengan kari ayam pekat dan rendang daging kering. Selamat mencuba.

Serunding Ayam



Serunding Ayam ni sebenarnya lebihan kari ayam dari n3 semalam. Tak habis jadi kakros keringkan
hingga jadi serunding. Akak alihkan kedalam kuali supaya senang mengaul untuk proses mengeringkan nya.
Cuma yang kakros tambah ialah 2 sudu besar serbuk ketumbar dan 2 sudu besar gula.

Rajin-rajin balik-balikkan nya supaya tidak hangus dan masak sama rata kering nya. Sambil-sambil tu
kutip-kutip tulang ayam yang dah tanggal isi nya. Tak perlu di carik-carik isi ayam tu sebab ia sendiri akan
jadi halus-halus sebab isi ayam tu dah lembut.

Teruskan menggoreng hingga Serunding Ayam rasa lebih ringan dan kering kemudian bolehlah tutupkan
api. Biarkan sejuk dan simpan dalam botol.

Pinwheel Wraps



Sumber : Puan Yusnani Nordin

Bahan-bahan :

3 keping tortilla wraps
6 biji telur
sedikit susu segar
sedikit lada hitam
garam secukup rasa
sedikit mayonis
sedikit sweet chilli sauce

Cara-cara :

1. Buat telur dadar dahulu, kita perlukan tiga telur dadar. Pecahkan dua biji telur letak sedikit
    susu segar, sedikit serbuk lada hitam dan garam secukup rasa. Kemudian dadarkan.

2. Bila dah siap angkat, buat yang kedua dan yang ketiga telur dadar. Kemudian ambil sekeping
    tortilla wrap sapu sedikit mayonis dan sedikit sos cili manis. Lepas tu letakkan telur dadar
    ke atasnya dan gulung kemas-kemas.

3. Kemudian bolehlah di potong lapan. Teruskan dengan yang kedua dan yang ketiga tortilla wrap.
    Boleh cuba dengan filling yang lain kalau suka seperti tuna dengan cream cheese atau turkey breast
    dengan mayonis. Cuba pelbagaikan ikut selera sendiri.

4. Abaikan yang kakros buat kat atas tu sebab terlebih letak sos. Tak pe cubaan pertama boleh
    cuba lagi. Sedap anak-anak akak pun suka. Nak cuba dapatkan gulungan yang yang lebih kemas
    lepas ni. Thanks Nani for the recipe.

Puding Sagu Bersusu




Bahan-bahan :

1 bungkus sagu hijau  (454gm)
1 periuk air panas
pewarna hijau

2 liter susu segar (sejukkan)

seketul gula melaka
5 sudu besar brown sugar
3 cawan air
sehelai daun pandan

Cara-cara :

1. Didihkan air masukkan sagu, kacau supaya ia tak berketul. Kalau guna sagu berwarna hijau
    tak perlu letak daun pandan hanya tambah sedikit lagi pewarna hijau sebab ia dah memang
    ada pewangi pandan. Tapi kalau guna sagu putih kena letak daun pandan dan tambah warna
    hijau. Masak sagu hingga kembang dan jernih, kalau masih ada bintik putih tambahkan lagi
    air panas teruskan mengacau hingga semua sagu jadi jernih serta tiada lagi air dalam periuk.

2. Keluarkan daun pandan dan tuangkan sagu yang telah masak tadi kedalam sebuah bekas kaca.
    Sejukkan dan bila hendak makan sudukan kedalam mangkuk kecil sagu hijau tadi, tuang susu
    dan air gula melaka.

3. Untuk air gula melaka, masak 3 cawan air, seketul gula melaka dan 5 sudu besar brown
    sugar hingga mendidih. Jangan lupa masukkan sehelai daun pandan, bila sejuk sedikit bolehlah
    di tapis ke dalam bekas lain.

4. Puding Sagu Bersusu ini sangat mudah menyediakannya dan sangat sedap. Rasanya lebih kurang
    macam cendol. Sejuk rasa bila lalu kat anak tekak. Resepi ini akak belajar dari Dr.Wan Amir dan
    isterinya Dr. Liza. Terima kasih ye Amir kakros nak letak resepinya kat sini supaya mudah akak
    dan anak-anak ingat nanti. Kalau ada yang nak mencuba boleh juga silakan tapi jangan lupa tinggalkan
    komen anda.

Thursday 3 November 2011

Karipap Sardin




Abaikan gambar yang tidak terang nih sebab guna hp saja. Jom semak resepi....

Bahan-bahan :

Untuk Doh Tepung
1kg tepung gandum
2 sudu besar garam
1 cawan minyak                } +kan kedua duanya dan panaskan
2 sudu besar minyak sapi  }  dalam microwave 1 1/2 minit
2 1/4 cawan air suam untuk menguli

Untuk Inti Sardin
4 biji kentang di potong dadu
1 tin sardin
1 biji bawang besar di dadu
1 sudu besar pes bawang putih
1 sudu besar pes halia
3 sudu besar cili mesin
3 sudu besar juice lemon
garam dan gula secukup rasa (lebih kurang 1 1/2 sb garam dan sesudu gula)

Cara-cara :

1. Masak inti dahulu, tumis bawang, bawang putih dan halia hingga garing sedikit masukkan
    cili mesin. Bila cili dah masak masukkan kentang yang di dadu tadi. Letak semangkuk kecil
    air atau sama rata dengan paras kentang, masak hingga kentang lembut.

2. Kemudian masukkan sardin dengan sos nya sekali, juice lemon, garam dan gula secukup rasa.
    Pecah-pecahkan ikan sardin gaul rata dan masak hingga kering.

3. Masukkan tepung dalam besen gaulkan dengan garam rata-rata atau boleh bancuhkan garam
    dengan air suam. Kemudian masukkan secawan minyak yang di campur dengan minyak sapi
    ke dalam microwave dan panaskan selama 1 1/2 minit. Gaul kan dengan tepung rata-rata.
    Kemudian masukkan air suam sedikit sedikit dan uli hingga jadi doh yang tak melekat di tangan.
    Tutup besen dengan pinggan plastik atau dengan plastik supaya doh tidak kering. Rehatkan doh
    sebentar kemudian bolehlah mula membuat karipap seperti biasa.

4. Kelim karipap sampai habis kemudian goreng guna api sederhana dan goreng sampai kuning.
 
                                                                                 

Nasi Karot BerAyam



Resepi asal : K.Hanieliza
sumber dari : K.Nor@secubitgaram

Sebenarnya Nasi Karot BerAyam yang sedap sangat ni menu semalam ye tapi baru dapat
masukkan hari ini. Maklumlah anak-anak balik Mesia....bab bab nak masuk gambar ni
memanglah kakros lemah sikit tak pandai. Dah berapa kali dah anak-anak ajar pun tak
reti jugak. Ada yang tinggal kat umah sorang lagi ni bz sangat pulak....macam-macam aktvti.
Kena ikut bila dia senang baru lah boleh update gambar.

Maaf lah kalau sejak dua menjak ni gambar tak berapa terang sebab guna hp saja sebab
camera yang selalu guna tu anak bawak sama. Jadi dua tiga minggu lagi nih kualiti gambar tak
berapalah ye. Masak tetap kena masak...gambar tak berapa cantek takpe asalkan makanan
yang di masak sedap dan menepati selera.

Lupalak nak cerita Nasi Karot ni kakros amik dari dapur Nor67@Secubitgaram. Nasi ni memang
lah sedap kena dengan selera keluarga akak. Tapi kakros tambah sikit letak ayam dalam nya
eemmmm sedap... bertambah-tambah anak makan. Tima kasih lah pada Nor67 dan Hanieliza kerana
sudi share kan resepi. Kalau ada yang nak cuba ikut resepi asal bolehlah lawat ke dapur K.Hanieliza
atau ke dapur K.Nor@secubitgaram ye... tapi kalau ada yang nak try ikut cara kakros sudi-sudikan
resepinya akak tepekkan kat bawah....

Kalau Hanieliza potong dadu karot tapi kakros sagat aje karot tu supaya Hilman anak akak yang
kecik tu makan semua. Kalau di potong dadu comel-comel gitu sah di kutipnya karot tu susun tepi
pinggan. Terpulanglah ye ikut selera masing-masing. Menu ini akak gandingkan dengan dalca ayam
dan salad bermayonis.

Nasi Karot BerAyam

Bahan-bahan :

9 ketul ayam di buang kulit dan di bersihkan
1 biji bawang besar di dadu
2 sudu besar pes halia
2 sudu besar pes bawang putih
2 sudu besar penuh rempah kurma Adabi
1 kulit kayu manis, 5 buah pelaga
5 bunga cengkih, 2 bunga lawang
1 kiub pati ayam
air secukupnya + 1/2 cawan susu segar
1 1/2 sudu besar garam
3sudu besar minyak + 2 sudu besar minyak sapi

3 mug beras basmathi
4 mug air
1 helai daun pandan
2 batang karot di sagat
3 biji cili hijau di belah dua
setangkai daun ketumbar (tak letak sebab tiada)

Cara-cara :

1. Masak ayam dahulu, panaskan minyak tumiskan bawang, halia, bawang putih, rempah 4 sekawan
    hingga wangi dan kekuninggan.

2. Kemudian masukkan ayam dan rempah kurma. Balik-balikkan masukkan air secukupnya dan susu
    segar hingga menutupi ayam.  Masukkan kiub pati ayam dan garam. Didihkan sehingga ayam
    betul-betul masak dan lembut isinya. Tutupkan api bila kuah dah tinggal sedikit.

3. Basuh beras dalam periuk rice cooker masukkan air secukupnya dan daun pandan. Kemudian
    masukkan ayam yang di masak tadi, karot dan cili hijau yang di belah dua. Kacau sedikit hingga
    semua bercampur dan masak seperti nasi biasa. Bila dah siap hidang kan dengan Dalca Ayam dan
    Salad bermayonis.

Dalca Ayam
Bahan-bahan :

8 ketul ayam
1 biji bawang besar di dadu
2 sudu besar pes halia
2 sudu besar pes bawang putih
setangkai daun kari
kulit kayu manis dan bunga lawang
sesenduk serbuk kari Adabi
sedikit serbuk kunyit
secawan red split lentil
2 biji karot
2 biji kentang
sedikit bendi dan cili merah
air dan susu segar secukupnya
garam secukup rasa

Cara-cara :

1. Tumis bawang ,halia dan bawang putih. Letakkan juga daun kari, kulit kayu manis dan bunga
    lawang. Bila dah bau wangi dan garing masukkan serbuk kari dan kunyit yang telah di bancuh
    dengan sedikit air. Tumis hingga terbit minyak.

2. Kemudian masukkan ayam, air secukupnya, kacang lentil dan kentang serta karot. Biarkan
    mendidih hingga ayam masak dan kentang, karot serta lentil dah lembut. Barulah masukkan
    susu segar, bendi dan garam secukup rasa. Didihkan sebentar lagi kemudian tutupkan api.

Salad bermayonis
Guna salad lettuce dan timun yang di potong nipis di gaul sedikit garam. Biarkan sebentar, ambil
salad dan timun masukkan kedalam mangkuk lain buangkan airnya. Kemudian gaulkan dengan
mayonis dan sedikit sos cili. Selamat mencuba.




Rendang Tok


Rendang Tok ikut resepi dari dapur Hanieliza tapi tukar dengan ayam.
Abaikan gambar yang tidak terang  nih sebab guna hp saja.

Bahan-bahan :

1kg daging (guna 12 ketul ayam)
2 cawan santan pekat (guna setin santan)
1/2 cawan kerisek (guna 5 sudu besar kerisek)
3 sudu besar gula merah (guna dark brown sugar)
3 keping asam keping
2 helai daun kunyit di koyakkan
garam secukup rasa
isi kelapa yang di potong nipis (tak letak)

25 biji cili kering (guna 3 senduk cili mesin)
20 biji bawang merah (guna 2 biji bawang besar) }
5cm halia                                                            }
5 batang serai                                                     } di kisar
3cm lengkuas                                                     }
2 sudu besar serbuk ketumbar
1 sudu besar serbuk jintan manis
1 sudu besar serbuk jintan putih
1 sudu besar lada hitam (guna 1/2 sudu besar serbuk lada hitam)
3 bunga lawang, 5 bunga cengkih

Cara-cara :

1. Panaskan kuali masukkan bawang, serai, halia dan lengkuas yang di kisar dan cili mesin.
    Masukkan juga serbuk ketumbar, jintan manis dan jintan putih, serbuk lada hitam, bunga lawang
    dan bunga cengkih.

2. Kemudian masukkan ayam, santan, asam keping dan daun kunyit. Bila hampir kering
    baru masukkan kerisek, brown sugar dan garam secukup rasa. Masak sampai kering.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...